Followers

Wednesday, February 24, 2010

Kisah Pemuda Malas Bersolat..

Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat
seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak
mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka,
seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang
bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa
kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

" Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama
kita" kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.
a
" Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye " jawab pemuda
tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar
al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk
bertemu dengan pemuda ini.

" Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima
waktu?" sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke
rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab " Sekadar ingin berkenalan.Tiada
langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan".

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh
ulama tersebut berkenaan solat . Perkara yang dilaksanakan hanyalah
sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat
tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar
terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang
selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk , terus memberikan
peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh.
Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan
seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke
Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar ditempat
tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan
berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut "
Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?"Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan
daripada Syeikh tersebut.

" Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya
wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku
melakukannya"jawab Ahmad memberikan alasan.

"Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku
berangkat pulang?"

"Permintaan apa itu wahai tuan?"

" Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun
sudah memadai, Boleh?"Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat
boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

" Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?" Tanya Ahmad penuh keraguan.

"Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja" Jawab Syeikh sambil tersenyum.

" Baik ,dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahwa kamu berkerja sebagai
petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu.
Bukankah begitu Ahmad?" Tanya Syeikh kepada Ahmad.

"Benar Tuan Syeikh"

"Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap
awal pagi , apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu
dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua
rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?" Syeikh memberikan
cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan
serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut
yang terlalu rapat dengannya.

"Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat
subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung
lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap
kali solat subuh tahun hadapan.Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan
daripadanya.

" Aku berjanji akan menunaikannya". Maka dengan senang hati Tuan Syeikh
memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar
Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau
benar-benar gembira bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan
janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja.
Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira
dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di
Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya: " Bagaimana dengan
janjimu dulu Ahmad.Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal
menunaikan solat subuh?".Ahmad menjawab dengan yakin : " Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh
di masjid ini"

"Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engaku benar-benar menunaikan janjimu."

" Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan"

" Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah
sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan .Tetapi anggap
ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi
disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa
disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?"Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

" Benar apa yang tuan katakan.Perkara yang kita lakukan dengan minat,
tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan"

"Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?" Tanya Syeikh kepada Ahmad.

" Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan , kemudian aku sambung
kembali kerja sehingga hampir Asar"

"Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan ? Membasuh tangan dan kaki
untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?" Tanya Syeikh meminta
kepastian.

"Ya benar Tuan"

" Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan,
terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama
rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?" Kata Syeikh berseloroh
kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. " Betul juga apa yang disebutkan
oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya".

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang
berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut.
Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada
tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap
kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk
tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya'.
Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang
setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.

" Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?" Syeikh memulakan
bicara.

" Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan"

" Baguslah begitu.Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah."Doa Tuan
Syeikh kepada Ahmad.

" Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau
perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini
berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di
dalam masjid ini?"

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

" Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya', sedangkan
aku tidak menunaikannya"

"Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami
semua?"Tanya Tuan Syeikh menguji.

"Sudah tentu wahai Tuan Syeikh" jawab Ahmad dengan penuh semangat.

" Kalau begitu dirikanlah solat Isya'. Maka engkau tidak lagi kurang
berbanding kami.Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami" Syeikh
memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad.Beliau berjaya
menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini.
Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi
menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar
sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana
orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa
semua sudah lari daripada jalan dakwah.Lari daripada jalan kebenaran.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails